Tuesday, May 27, 2008

KEJAYAAN: SYARAT KEENAM

Lukman Al-Hakim pernah berpesan, "Ada dua orang yang paling gagal dalam hidup, orang yang tidak cekap membuat apa yang disuruh, dan orang yang hanya membuat apabila disuruh". Sebenarnya ada banyak orang yang boleh dikelaskan sebagai GAGAL (saya tak mahu menulis tentang kegagalan, ia cuma satu ulasan bagi menjelaskan kejayaan), tetapi pada pandangan beliau dua kelompok di atas adalah orang yang PALING GAGAL (kesian kat mereka kan..?) Tapi nanti dulu............., ia boleh terjadi kepada kita semua, iaitu saya, anda dan kawan-kawan kita. Kita mesti melihat diri kita terlebih dahulu sebelum melihat orang lain. Kelompok yang pertama adalah dari kalangan manusia yang tidak memiliki kemahiran dan pengetahuan dalam kerjanya. Mungkin kurangnya latihan dan pendedahan, mungkin juga majikan anda tidak memberikan latihan yang sepatutnya (kesian). Mungkin juga kerana kerja berkenaan adalah tugas baru yang diberikan kepada anda.


Kelompok yang kedua, adalah mereka boleh disifatkan sebagai pahat, ya.. pahat bukannya lahat atau jahat. Mereka tidak bersikap pro-aktif dan selalunya menunggu kerja. Lebih teruk lagi jika ada yang lambat buat kerja. Lagi-lagi teruk mereka yang tak mahu buat kerja. Golongan ini, selalunya berfikir yang mereka akan untung, orang lain akan rugi. tetapi mereka tidak tahu sebenarnya merekalah yang akan mengalami kerugian. Jika anda nak tahu apakah kerugiannya, anda boleh lihat cara mereka berhubungan dengan orang lain dan keadaan mereka sekarang.

Sunday, May 25, 2008

KEJAYAAN: SYARAT KELIMA

Tahukah anda bahawa Colonel Sanders terpaksa berjumpa dengan lebih daripada 1000 orang untuk 'menjual' resepi ayam goreng KFCnya. Beliau mencuba pada kali yang ke 1009 bagi membolehkan kita semua berpeluang untuk merasainya keenakan resepinya. Jika beliau mengaku kalah pada kali yang ke 1000, mungkin kita tidak dapat menikmati ayam gorengnya. Apa pengajaran yang boleh kita ambil dari cerita kejayaan Colonel Sanders kepada kita semua...? Kenapa beliau perlu bersusah payah menjaja resepinya..??
Banyak persoalan yang boleh dibangkitkan dari cerita klasik ini. (saya tidak berhasrat untuk bercerita panjang lebar mengenainya). Pada saya, kita perlu BUAT SAMPAI BOLEH jika inginkan kejayaan dalam hidup. Sebenarnya tidak ada jalan lain, itu sahaja jalannya. Tidak ada karpet merah untuk kita mencipta kejayaan dalam hidup. Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh kita ambil darinya, tetapi saya mencadangkan kepada anda yang berminat untuk mengetahui cerita lanjut mengenainya, bacalah perjalanan hidupnya. Rumusan dari cerita beliau, saya suka sarankan supaya;
  1. kerjaya kita sekarang memberi peluang kepada kita menjadi pakar dalam sesuatu bidang
  2. kemahiran yang kita ada boleh dipasarkan apabila kita bersara
  3. kita perlu membuat persediaan yang rapi sebelum bersara
  4. kita mempunyai simpanan yang mencukupi
  5. kita memiliki tahap kesihatan yang baik

Friday, May 23, 2008

POLITIK PEJABAT

Ketika saya menyambung pengajian dalam bidang sains politik, tidak ada pula saya berjumpa dengan istilah politik pejabat. Saya hanya menyedarinya apabila bertugas dan mempunyai kerjaya. Walau bagaimanapun, ciri-ciri dan strategi berpolitik masih lagi sama, bezanya adalah matlamat akhirnya. Dalam politik sebenar, matlamat adalah kuasa untuk menjadi kerajaan ataupun pemerintah. Golongan ini akan menggunakan bermacam-macam pendekatan bagi membolehkan ideologi mereka diterima oleh rakyat. Bezanya, dalam organisasi tidak ada parti, manifesto, mengundi dan sebagainya. Yang sama adalah, cara mereka mengumpulkan kelompok, mempengaruhi dan strategi untuk mendapatkan kuasa. Ia akan digunakan dengan pelbagai cara, sama ada cara yang baik dan berundang-undang ataupun menggunakan pendekatan yang agak bias dan tidak bermoral. (pada kebanyakan masa cara agak berkesan, namun begitu saya melarang pembaca mencuba atau menirunya).
Satu perkara yang sama dalam semua keadaan adalah KEPENTINGAN. Inilah motif utama dalam sains politik yang saya pelajari dalam tempoh dua tahun di universiti dan 10 tahun di alam kerjaya. Pada saya organisasi akan rugi kerana;
  1. banyak masa akan dihabiskan untuk mempengaruhi orang lain
  2. matlamat organisasi tidak akan tercapai sepenuhnya kerana ada yang akan mensabotaj demi mendapatkan kuasa
  3. sumber-sumber utama akan dibazirkan
  4. perpecahan akan berlaku
  5. pekerja akan mempunyai kelompok dan kumpulan serta tidak bersatu padu
Yang paling rugi ialah stake holder kepada organisasi berkenaan.

Tuesday, May 20, 2008

KEJAYAAN: SYARAT KE EMPAT

Satu di antara beberapa banyak ayat yang masih saya ingat sehinggalah sekarang ialah satu ayat yang selalu disampaikan oleh seorang kawan saya dalam banyak ceramahnya. Ia berbunyi; "BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL" . Kepada saya ia memberi makna bahawa jika kita ingin berjaya dalam hidup kita, dalam bidang-bidang kerjaya yang sedang dan akan kita ceburi, kita perlu melakukan perubahan atas kebiasaan yang sedang kita amalkan. Kebiasaan yang berkenaan sama ada berbentuk perkataan, kemahiran ataupun tabiat kita seharian, yang telah sekian lama kita buat, tidak menampakkan sebarang kejayaan. Kita masih menerima hasil yang sama dari kebiasaan itu. Apa kata, kalau kita cuba merubahnya..?? Kita tidak akan tahu hasilnya jika kita masih lagi dengan kebiasaan yang lama.
ps Pn Roziah: betul ke maksudnya..???

Wednesday, May 14, 2008

KEJAYAAN: SYARAT KETIGA

"Bagaimana anda bermula TIDAK PENTING, TETAPI YANG PALING PENTING, bagaimana anda berakhir". Ini adalah ayat yang mesti anda simpan dan amati jika anda inginkan kejayaan. Tak kira dalam apa bidang sekalipun. Yang paling utama, anda memahami perkataan-perkataan yang menjadikan ayat penguat semangat itu memberikan makna kepada hidup anda.


Jika anda bermula sebagai buruh, penjual cendol, penjual surat khabar, penarik beca, penjaga parking, pengawal keselamatan dan bermacam-macam kerjaya lagi yang tak mampu saya sebutkan disini, itu tidak mengapa. Orang yang inginkan kejayaan, tidak memikirkan kedudukan mereka sekarang, tetapi senantiasa ingin majukan diri mereka dengan bermacam-macam cara. Apapun kedudukan mereka dimata masyarakat tidak sekali-kali menjadi penghalang. Lihatlah mereka yang sudah berjaya, adakah kejayaan yang menjadi milik mereka datang ketika mereka dilahirkan..??? Sudah tentu, jawapan anda adalah TIDAK.


Walau apapun yang anda lakukan sekarang, IA TIDAK PENTING SAMA SEKALI. Jangan ambil peduli tentang bagaimana anda bermula. Rancang dan susunlah hidup dan kerjaya anda, supaya ia akan berakhir sebagaimana yang anda idam-idamkan.

KEJAYAAN: SYARAT KEDUA

Orang yang inginkan kejayaan dalam hidup hendaklah memiliki keinginan yang tinggi. Bukan kelulusan yang tinggi semata-mata. "Wah..!!!, kalau begitu macam mudah aje." Hanya keinginan yang tinggi, mudah bukan.??? Ramai tokoh yang telah berjaya yang anda boleh saksikan sendiri, mereka berjaya dan kaya raya tidak mempunyai kelulusan yang tinggi. Perbezaannya hanyalah mereka mempunyai keinginan yang sangat tinggi untuk berjaya. Manakala yang lain-lain hanya mempunyai keinginan yang sederhana sebagaimana juga yang diinginkan oleh orang lain.
Manusia sememang suka untuk berada di dalam keadaan yang sama, seperti orang lain. Biasanya kita tidak mahu dianggap pelik atau tidak sanggup dilihat sebagai asing, apabila kita mempunyai sesuatu yang tidak dipunyai oleh orang lain. Ia berlaku dalam banyak keadaan. Contohnya, kita tentu dipandang sinis jika kita katakan bahawa kita ingin menjadi angkasawan. (ianya masih lagi dianggap pelik walaupun negara kita telah mempunyai angkasawan) Begitu juga kita kita memberikan idea yang praktikal, tetapi nampak pelik dan asing. Orang akan melihat kita dengan pandangan yang penuh dengan 1001 pertanyaan.

Monday, May 12, 2008

KEJAYAAN: SYARAT PERTAMA

Dalam dunia ini, umumnya semua manusia yang normal inginkan kejayaan dalam hidup mereka. Satu perkataan yang paling susah dalam menulis tajuk ini adalah.. Apakah erti kejayaan.??? Pada saya, makna kejayaan bergantung kepada pemahaman setiap individu. Saya dan anda mempunyai pengertian yang berbeza tentangnya. Ia bukan sesuatu isu yang pelik, malahan ia adalah keunikan antara manusia. Walaubagaimanapun, ia bukan tujuan saya menulis kepada anda. Apapun maknanya kepada anda, saya suka nyatakan bahawa syarat pertama kejayaan adalah KEBERANIAN.
Anda mesti berani untuk berjaya. Saya katakan begitu kerana bukan semua orang berani untuk berjaya. Yaa.. memang benar, mereka takut untuk berjaya. Bunyinya memang macam pelik, tetapi ia benar. Jangan silap faham..!! apa yang saya maksudkan takut, bukannya takut kepada kejayaan, tetapi takut kepada;
  1. kepayahan yang mesti dilalui dari usaha-usaha yang dilakukan
  2. percubaan melakukan perkara yang sama berulang kali (anda tentu akan mengalami tahap kebosanan yang tinggi)
  3. kesan kejayaan secara tidak langsung kepada insan yang disayangi
  4. tahap penerimaan oleh kelompok (bukan semua ahli kelompok anda dapat menerimanya)
  5. penyesuaian dalam kelompok baru (anda akan diperhatikan)
ANDA MESTI BERANI UNTUK BERJAYA

Sunday, May 11, 2008

RAHSIA DOA

Saya mulakan tulisan saya kali ini dengan satu kata-kata yang saya selalu gunakan dalam banyak ceramah saya. Anda boleh gunapakai kata-kata ini dan simpan dalam ingatan anda. Saya selalu katakan kepada mereka yang inginkan kebenaran dalam hidup dengan ayat "ALLAH MEMBERI APA YANG KITA PERLU, BUKAN APA YANG KITA MAHU". Saya selalu berdoa supaya saya diberikan sesuatu yang sendiri menganggapnya adalah sangat perlu kepada saya. Saya merasakan ia adalah sesuatu yang sangat penting dan sangat memberi faedah kepada saya. Atas pertimbangan itu saya mula berdoa, berdoa dan terus berdoa untuk satu tempoh panjang. Sebaliknya, setelah beberapa lama, saya tidak mendapati apa-apapun dari doa saya. Dalam hati "wah nampaknya, tak dapatlah. Doaku tidak dimakbulkan" jangan bertanya; sama ada kecewa atau tidak, saya tentunya sangat kecewa.
Namun setelah beberapa lama, saya mengaku bahawa sememangnya betul. Doa saya tidak perlu dimakbulkan. Jika doa saya dimakbulkan, keadaan akan menjadi lebih teruk dan mungkin saya tidak mempunyai masa untuk menulis kepada anda. Saya akan terus percaya dan berpegang kepada kata "Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu". Dengan satu kesaksian bahawa Allah maha mengasihani hambanya. (sudah tentu ia termasuk saya, anda juga saudara islam kita.

KESIHATAN ADALAH KEKAYAAN

Mungkin anda pernah mendengar kata-kata motivasi yang saya jadikan tajuk tulisan saya kali ini. Ya.. anda tidak silap.!!! 'kesihatan adalah kekayaan'. Ia adalah satu perkataan yang sangat berkaitan dengan kita dan kerjaya yang kita ada sekarang. Mengapa saya berkata demikian..???


Jawapannya sangat mudah. Jika anda masih lagi sihat sekarang, anda boleh jadi kaya, orang kaya, orang yang sangat kaya, manusia paling kaya, jutawan yang sememangnya kaya dan bermacam-macam lagi gelaran KAYA yang boleh digunapakai. Sebaliknya jika anda tidak memelihara dan menghargai kesihatan anda sekarang, (saya tidak berhasrat memberikan contoh kerana mungkin akan menyebabkan pembaca tulisan saya tidak selesa) anda sebenarnya tidak ingin kaya pada masa depan. Penyakit yang terhasil dari apa yang kita buat sekarang akan mengikis kekekayaan dan simpanan yang kita ada pada masa depan.
JOM KITA BERSENAM.

Saturday, May 10, 2008

Jadilah Pakar

Beberapa minggu lepas, saya berkesempatan meraikan sekumpulan bakal-bakal pesara. Dalam perbualan yang sempat saya mulakan, saya perhatikan mereka sememangnya ingin "betul-betul bersara". Dengan kata-kata yang mudah, mereka ingin duduk, rehat dan tidak membuat apa-apa pun. Saya terdiam sebentar dan menyambung perbualan mengenai tajuk yang lain. Dalam hati... "Emmm.. hebat sungguh mereka".
Itu adalah merupakan senario biasa yang berlaku kepada hampir semua pesara. (ia andaian saya semata-mata). Ingin berehat dan melupakan semua beban dan tekanan kerja yang dihadapi untuk satu tempoh yang lama. (saya pun akan melakukan perkara yang sama). Namun begitu, adakah mereka akan terus bersara dan berehat..? jawapannya bergantung kepada persediaan yang mereka telah lalukan. Jika anda sedang bekerja atau sedang mencari pekerjaan, saya sarankan supaya;
  1. pastikan anda mendapat kemahiran dan pengetahuan baru dengan kerjaya atau bakal kerjaya anda,
  2. pastikan bidang kerjaya dan bakal kerjaya anda akan terus relevan dan diperlukan oleh pasaran
  3. pastikan bidang kerjaya dan bakal kerjaya anda tidak menjejaskan kesihatan anda sama ada dari segi fizikal dan mental
  4. pastikan organisasi anda memberikan peluang kepada anda memajukan potensi yang anda ada
  5. pastikan pengalaman yang anda perolehi sekarang dan akan datang relevan dengan apa yang bakal anda usahakan
Jika anda memilih untuk tidak peduli dengan apa yang bakal berlaku kepada anda setelah anda bersara, saya yakin anda adalah;
SEORANG PESARA JUTAWAN

Thursday, May 8, 2008

kerjaya dan tekanan kerja

Sesiapapun pernah mengalaminya, saya, anda dan juga orang lain. Ia adalah sesuatu yang normal dalam mana-mana organisasi. Tidak kiralah sama ada kita merupakan pekerja bawahan, eksekutif ataupun pengurus organisasi. Ia akan mengambil bentuk mengikut posisi dan kedudukan kita dalam organisasi berkenaan. Bermacam-macam jenis tekanan berlaku dalam organisasi. Biasanya contoh ayat yang diucapkan oleh individu yang mengalami tekanan adalah;
  1. apalah boss ni.. macam tak ade orang lain..! (dalam hati)
  2. Mana dia pergi leman...? kan saya dah cakap, selesaikan dulu apa yang suruh tu..
  3. Saya tak peduli.. awak mesti habiskan laporan tu sebelum pukul 8 pagi esok.
  4. CC..! mesyuarat saya lagi 10 minit, tak nampak pemandu di bawah..?
Seorang penceramah ada mengatakan dalam satu ceramah yang saya ikuti, bahawa sedikit tekanan akan membawa kesan yang positif kepada individu. Ia boleh diandaikan sebagai tolakan untuk melakukan sesuatu. Bagaimana..? adakah anda bersetuju..?

Sunday, May 4, 2008

MULAKAN DENGAN SEMANGAT BARU

Bagi sesetengah pekerja, memulakan kerja pada hari isnin adalah sesuatu yang membosankan. Lebih-lebih lagi bagi pekerja telah bekerja dalam satu tempoh yang lama. Saya pun selalu mengalami perkara yang sama pada kebanyakkan hari isnin. Rasa malas, tidak bermaya, lesu, mengantuk dan pelbagai lagi. Selalunya, "Alamak, kalaulah hari nie hari ahad, kan seronok" perkataan yang selalu hadir dalam minda saya. Lalu, pada satu pagi isnin, saya cuba untuk bertanya kembali, "disepanjang hidup saya bilakah hari isnin yang saya rasa seronok untuk memulakan sesuatu" saya mula berfikir. Yang saya dapat ingat adalah;
  1. Ketika memulakan awal sesi persekolahan
  2. Ketika memulakan persekolahan menengah
  3. Ketika ingin mendaftar diri sebagai mahasiswa
  4. Ketika menghadiri kuliah untuk kali pertama
  5. Ketika mendapat pekerjaan pertama
  6. Ketika mula memandu kereta pertama
  7. Ketika diberi tanggungjawab sebagai pengarah
  8. Ketika mempengerusikan mesyuarat
Sebetulnya, ada diantara peristiwa diatas tidak berlaku pada hari isnin. Banyak lagi peristiwa hari isnin yang saya rasa seronok, tetapi tidak dapat diingati dengan jelas. Bukan maksud tuliasan ini untuk menceritakan haris isnin yang menyeronokkan dan sebaliknya. Tetapi yang penting, ia sebetulnya bergantung bagaimana kita merancang hari isnin kita. Tips dari saya;
  1. letakkan sesuatu yang baru pada hari isnin, contohnya baju baru, kasut baru, pen baru, tugas baru dan sebagainya.
  2. letakkan sesuatu yang kita ingin sangat lakukan pada hari isnin, berjumpa kawan rapat, hadir perjumpaan yang kita tunggu-tunggu, membeli sesuatu yang kita idamkan dan sebagainya.
  3. letakkan sesuatu yang kita ingin sangat mencubanya, contohnya mencuba memandu kereta, mencuba berenang, mencuba resepi, mencuba bermain tenis dan lain-lain.
SELAMAT MENCUBA

Friday, May 2, 2008

Rancanglah Persaraan Anda

Jika kebetulan hari ini adalah hari pertama anda bekerja, rancanglah persaraan anda mulai sekarang. Bagi anda yang sudah mempunyai pekerjaan, persiapkan diri anda untuk menghadapi dunia "hilang pekerjaan". Masa untuk bersara akan menghampiri semua orang yang bekerja. Lebih-lebih lagi bagi kita yang bekerja "makan gaji". Jika menjadi usahawan dan mempunyai perniagaan sendiri, masa bersara tertakluk kepada tarikh yang mereka sendiri tentukan. Bukan tidak ada bekas pekerja yang terpaksa kembali bekerja kerana tidak mempunyai persediaan yang cukup untuk berhadapan dengan cabaran realiti. Dari pandangan saya, persaraan akan menyebabkan beberapa perkara yang menjadi kebimbangan sesetengah orang; ia adalah
  1. Kehilangan punca pendapatan utama
  2. Kehilangan ruang untuk berinteraksi dan bersosial
  3. Kemerosotan pendapatan bulanan
  4. Terpaksa menyesuaikan perubahan cara hidup
  5. Hilangnya kawan dan rakan
  6. Masa yang terlalu panjang untuk dihabiskan
  7. Hilang rasa diterima dan diperlukan oleh orang lain
  8. Tak tahu nak buat apa
Sebelum masanya tiba didepan mata, elok benarlah kita membuat perancangan persaraan. Ia mungkin akan terdiri dari tindakan-tindakan berikut;
  1. Membuat simpanan tetap dari pendapatan kita
  2. Membuat pelaburan walaupun dalam jumlah yang kecil
  3. Rancang perbelanjaan
  4. Dapatkan kemahiran yang boleh digunapakai apabila bersara
  5. Mulakan rancangan lima tahun sebelum bersara
  6. Dapatkan maklumat yang berkaitan; tetapi jangan sampai kita lupa
  7. JAGA PERIUK NASI KITA.

Thursday, May 1, 2008

kemahiran mencari pekerjaan

Ketika di universiti, saya belajar tentang banyak perkara berkaitan dengan jurusan yang saya minati. Selama empat tahun rasanya terlalu lama pada ketika itu, tetapi kenangan itu masih lagi segar dalam ingatan. Saya juga melihat siswa lain pun begitu juga, senantiasa sibuk menghadiri kuliah, tutorial, membuat rujukan di perpustakaan, membaca, menaip tugasan dan pelbagai aktiviti seharian. Satu perkara penting yang sepatutnya saya pelajari, mesti saya mahir tentangnya, tetapi tidak ditawarkan oleh jabatan atau fakulti saya, ialah kemahiran mencari pekerjaan. Malah seingat saya ia pun tidak ditawarkan oleh mana-mana jabatan dan fakulti di universiti tempat saya belajar. Wah ! kalau begitu bagaimana saya boleh berada disini pada hari ini..?
Sebetulnya, kemahiran ini saya pelajari secara tidak langsung. Baru sekarang saya berasa sangat beruntung dan bernasib baik jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang lain. Mereka sebenarnya tidak tahu tentang apa yang sebenarnya mereka perlu tahu. Bukan semasa di universiti, tetapi ketika berhadapan dengan dunia luar. Entah bagaimana saya terpilih untuk menyertai Sekretariat Pengembangan Kerjaya ( pada ketika itu saya tak tahu pun apa sebenarnya objektifnya), saya terpanggil menyertainya walaupun tidak mengetahui dengan mendalam. Di dalamnya banyak aktiviti yang telah dihadiri oleh saya disepanjang tempoh tersebut. Saya sedar bahawa pengalaman itu memang sangat berguna, ketika saya berhadapan dengan dunia pekerjaan yang mencabar.