Wednesday, July 9, 2008

JAMINAN PEKERJAAN

selamat bertemu kembali.

Semalam saya berkesempatan bertemu semula dengan seorang eksekutif baru yang datang melapor diri di organisasi saya. Beliau memperkenalkan dirinya lebih dahulu kerana saya tidak mengenalinya. Tidak saya menyangka akan berjumpa dengannya dalam satu suasana yang berbeza. Kali pertama saya bertemu dengan beliau ketika beliau membuat latihan/praktikal di organisasi lama saya. Dalam perbualan dengannya, saya melontarkan satu soalan biasa yang selalunya saya kemukakan kepada teman bual saya. "apa yang menyebabkan puan memilih pekerjaan ini, sedangkan gaji di tempat lama agak tinggi sedikit ?' Beliau menjawab, "kerja di sini lebih terjamin" sambil tersenyum.
Beliau adalah antara mereka yang memilih jaminan pekerjaan lebih dari pendapatan. Namun begitu, jaminan pekerjaan bukan sahaja bermaksud kita tidak akan diberhentikan, tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih luas. Ia sangat bergantung kepada bagaimana seseorang itu membuat penyesuaian dirinya dengan kerjanya. Saya melihat jaminan pekerjaan juga bermakna kita mempunyai simpanan mudah cair hasil dari pendapatan bulanan kita. Jaminan pekerjaan juga boleh diertikan dengan kita mempunyai kemahiran baru yang tertentu yang membolehkan kita menukar majikan atau membuka perniagaan sendiri.

Tuesday, June 10, 2008

KEJAYAAN UNTUK APA..?

Siapakah yang mahu bersusah payah dalam hidupnya tanpa ada apa-apa tujuan...? Apakah motif seseorang melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu..? Bagi soalan yang kedua, semua orang mempunyai alasan atau motif tentang perlakuan masing-masing, sama ada sesuatu yang dibuat ataupun sebaliknya. Saya juga mempunyai motif meluangkan masa menulis sesuatu kepada anda, pembaca yang saya kenali dan mungkin ramai juga yang tidak saya kenali. Motifnya mudah, saya ingin pandangan saya diambil kira. Saya mahu pengalaman saya diteladani dan macam-macam lagi. Pendek kata saya inginkan sedikit bahagian dalam hidup anda. Tetapi jika, pandangan dan pengalaman tersebut tidak diambil kira, saya tidak juga mengalami apa-apa kerugian kerana mungkin ada orang lain yang menggunakannya. Itu adalah contoh. Begitu halnya dalam kerjaya kita. Kita mesti mempunyai motif melakukan sesuatu atau tidak melakukannya. Dalam kerjaya, saya suka perkataan motif itu kita ubahkan menjadi matlamat kerjaya. Matlamat kerjaya bermaksud, apakah yang ingin dicapai oleh seseorang pekerja dalam kehidupan kerjayanya. Yang penting juga, apakah perancangannya untuk mencapai matlamat kerjaya tersebut. APakah kesan kepada seseorang jika ia tidak mempunyai matlamat dalam kerjayanya...?

Thursday, June 5, 2008

KENAPA KITA BEKERJA

Kebanyakan kita memulakan kerjaya kita setelah menamatkan pelajaran atau pengajian sama ada di sekolah menengah, kolej ataupun universiti. Pendidikan yang kita terima mengikut tahap yang telah kita lalui akan menempatkan kita dalam kelompok mana kita akan berkerja. Kalau anda berkelulusan universiti, tempat dan kerjaya anda mungkin lebih selesa dari mereka yang hanya berkelulusan SPM. Namun, bukan semua yang berkelulusan setakat itu tidak boleh berjaya. Yang penting anda tahu bagaimana untuk berjaya.
Kenapa kita bekerja bukan satu persoalan ringan. Ia juga bukan persoalan yang boleh dijawab oleh pekerja biasa. Ia adalah persoalan bagi pekerja yang ingin meningkatkan keupayaan mereka dalam kerjaya mereka sekarang. Pada asasnya, pekerja akan bekerja kerana ingin memenuhi keperluan fisiologi mereka ia termasuk makan, minum, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya. Dalam memenuhi keperluan yang paling asas ini, biasanya manusia tidak begitu mengambil berat tentang apakah pekerjaan itu memberikan jaminan, keselamatan, pengiktifaran dan sebagaianya. Yang penting pada waktu itu, mereka mendapat makan, minum dan lain-lain keperluan di bawah aspek fisiologi. Mereka akan terus menerus bekerja sehinggalah pada satu tahap semua keperluan di bawah tahap fisiologi telah dipenuhi.
Pada peringkat inilah, keperluan untuk memenuhi keperluan fisiologi akan berubah kepada tajap keselamatan. Pada peringkat ini, kita akan melihat dan membuat pemilihan, kerjaya mana yang mampu untuk memberikan keselamatan. Sama ada selamat dari segi pendapatan, kesihatan, gangguan dan sebagainya. Proses ini akan terus menerus berubah dari satu tahap ke satu tahap sehinggalah mencapai tahap yang tertinggi, iaitu penyempurnaan kendiri.