Friday, July 18, 2008

JANGAN BERHENTI

Jika anda inginkan kejayaan dalam kerjaya, malah dalam apa jua lapangan kehidupan anda sekarang, anda JANGAN BERHENTI. Jika anda berhenti, hanya ada satu keputusan, anda GAGAL. Sebenarnya saya tidak begitu selesa menyebut gagal, tetapi itulah jawapan kepada mereka yang berhenti. Apa yang saya nak sampaikan kepada anda adalah, anda perlu meneruskan usaha-usaha anda sekarang untuk mendapatkan sesuatu yang anda idam-idamkan. Jika matlamat anda dalam kerjaya ialah menjadi pekerja terbaik bagi bulan Ogos 2008, anda perlu terus berusaha walaupun pada bulan Ogos nanti, bukan anda yang menerima penghargaan itu. Kita sebenarnya tidak tahu berapa jauh lagi kedudukan usaha kita sekarang dengan sesuatu kejayaan. Mungkin satu kilometer, mungkin juga satu ratus kilometer, tidak mustahil juga ia hanya sekitar satu hasta atau satu langkah. Kita tidak tahu berapa jauh lagi kejayaan itu berada dari kita. Oleh itu, kita tidak boleh BERHENTI. Saya ada satu cerita. Ia terjadi pada tahun 2003 ketika saya berkhidmat di salah sebuah negeri di pantai timur. Ceritanya bermula apabila saya menerima permohonan seorang juruteknik untuk melanjutkan tempoh percubaannya. Dalam rekod, beliau telah disambungkan tempoh percubaan hampir sepuluh tahun. Pegawai sebelum saya telah melakukan usaha dan ikhtiar bagi membolehkan beliau disahkan. Namun tidak berjaya. Surat dari suruhanjaya menyatakan keengganan untuk melanjutkan tempoh percubaan kerana telah melebihi dari tiga kali. Pilihan yang ada adalah mengembalikan pegawai berkenaan ke jawatan asalnya. Jika ini berlaku, banyak kerugian akan berlaku kepada pegawai berkenaan.
Memikirkan bahawa peluang masih lagi ada, walaupun "semua" orang di sekeliling saya tidak yakin dengannya, saya memulakan perjalanan mencari fakta. Semua dokumen lama yang berhabuk dibaca satu demi satu. Peraturan lama yang di gunapakai sebelum tahun 1991 dibaca dan cuba difahami. Sejarah perkhidmatan pegawai berkenaan dicatat dan dibandingkan dengan peraturan dan dokumen semasa. (saya tidak dapat menyatakan dengan teperinci disini). Akhirnya usaha saya berhasil juga, saya berjaya membuktikan bahawa pegawai berkenaan berhak untuk disahkan dalam perkhidmatannya tanpa memenuhi beberapa keperluan. BUkan itu sahaja, pegawai berkenaan menerima bayaran balik gajinya yang tidak dinaikkan selama tempoh tersebut. Walaupun, saya tidak sempat menemui pegawai berkenaan. Saya percaya beliau akan merasa bersyukur dan bertuah kerana nasib kerjayanya terbela. Pegawai berkenaan tidak perlu mengenali saya atau berterima kasih kepada saya. Kerana kes itu, saya mendapat pengalaman dan pengetahuan yang tidak mungkin diperolehi dari buku atau kursus. Dari itu saya belajar perkataan yang besar maknanya: JANGAN BERHENTI kerana anda tidak tahu jarak kejayaan dari anda, mungkin hanya selangkah.

Wednesday, July 9, 2008

JAMINAN PEKERJAAN

selamat bertemu kembali.

Semalam saya berkesempatan bertemu semula dengan seorang eksekutif baru yang datang melapor diri di organisasi saya. Beliau memperkenalkan dirinya lebih dahulu kerana saya tidak mengenalinya. Tidak saya menyangka akan berjumpa dengannya dalam satu suasana yang berbeza. Kali pertama saya bertemu dengan beliau ketika beliau membuat latihan/praktikal di organisasi lama saya. Dalam perbualan dengannya, saya melontarkan satu soalan biasa yang selalunya saya kemukakan kepada teman bual saya. "apa yang menyebabkan puan memilih pekerjaan ini, sedangkan gaji di tempat lama agak tinggi sedikit ?' Beliau menjawab, "kerja di sini lebih terjamin" sambil tersenyum.
Beliau adalah antara mereka yang memilih jaminan pekerjaan lebih dari pendapatan. Namun begitu, jaminan pekerjaan bukan sahaja bermaksud kita tidak akan diberhentikan, tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih luas. Ia sangat bergantung kepada bagaimana seseorang itu membuat penyesuaian dirinya dengan kerjanya. Saya melihat jaminan pekerjaan juga bermakna kita mempunyai simpanan mudah cair hasil dari pendapatan bulanan kita. Jaminan pekerjaan juga boleh diertikan dengan kita mempunyai kemahiran baru yang tertentu yang membolehkan kita menukar majikan atau membuka perniagaan sendiri.