Sunday, August 24, 2008

MEMBUAT PILIHAN

Mungkin ramai diantara kita yang mempunyai pengalaman yang menarik dalam membuat pilihan. Contohnya; memilih lokasi sebelum membeli rumah, memilih tawaran pekerjaan setelah berjaya dalam beberapa temuduga kerjaya dan tidak kurang juga yang membuat perbandingan dalam memilih pasangan hidup. Tujuannya masih sama, iaitu kita tidak ingin menyesal dikemudian hari atas pilihan yang telah kita buat. Apakah kita telah membuat pilihan yang terbaik ataupun tidak, hanya masa yang akan menjadi saksi. Dalam hal ini, tahukah kita bahawa apakah yang sebenarnya menentukan kita memilih sesuatu dan menolak sesuatu pilihan yang lain.?
Perkara yang sama berlaku dalam kerjaya kita, contohnya jika kita diberikan pilihan umur bersara, agaknya bilakah tarikh keramat tersebut.? Apakah wajar bagi seseorang itu diberikan pilihan dalam kerjayanya sepanjang masa.? Apakah jika seseorang yang hanya ingin bersara apabila ia disahkah meninggal dunia wajar diterima oleh majikannya.? Atau kita hanya boleh membuat pilihan apabila kita diberikan peluang untuk berbuat pilihan oleh orang lain. Adakah kita bebas untuk membuat pilihan.?
Soalan diatas sebenarnya tidak memerlukan sebarang jawapan, ia hanyalah satu stimulasi kepada minda kita supaya kita berfikir beberapa kemungkinan yang mungkin terjadi dan berlaku kepada diri kita dan juga orang lain. Beberapa sifir kerjaya boleh dibentuk dari stimulasi tersebut;
  1. Memilih kerjaya adalah memilih masa hadapan
  2. Kerjaya yang berpendapatan tinggi tidak semestinya membahagiakan
  3. Mendaki tangga kerjaya memerlukan pengorbanan
  4. Kebebasan dalam kerjaya hanya boleh dicapai apabila anda menjadi majikan
  5. Matlamat kerjaya adalah langkah kejayaan dalam hidup

Monday, August 11, 2008

DUNIA MEMANG TIDAK RATA

Tulisan saya kali ini bukanlah sebagai respon kepada tajuk sebuah buku popular yang bertajuk The World is Flat. Ia tidak ada kaitan sama sekali. Saya menulis tajuk ini dengan harapan supaya kita tahu dan perlu mengetahui bahawa dunia kerjaya memang tidak rata. Oleh yang demikian, tidak ada apa yang perlu kita risaukan. Akan ada diantara kita yang terpaksa mendaki bukit, gunung; merentas lurah belantara, belukar dan hutan rimba. Tidak kurang juga yang mendapat gajah untuk melakukan perkara yang sama. Ada juga diantara kita yang hanya perlu mendayung perahu untuk mudik ke hilir atau kehulu. Ada juga yang perlu meredah sungai, lautan untuk sampai ke pulau impian.
Dalam dunia kerjaya akan ada manusia-manusia yang memang berada di atas bukit, senanglah mereka mendaki ke gunung. Memang sudah ada dayung ditangan dan perahu di air, senanglah mereka memudik ke hulu sungai. Untuk sampai ke pulau impian, memang jalannya tidak akan sama. Nak buat macam mana kerana DUNIA MEMANG TIDAK RATA. Kalau kita berminda negatif, kita telah pun gagal pada hayunan pertama. Kaki kita tidak akan mampu melangkah lagi. Segalanya akan berakhir, dan tinggal menjadi kenang-kenangan. Kita akan mudah menyalahkan orang disekeliling kita dengan cercaan dan makian . Percayalah, ia tidak akan berkesan.
Tetapi Allah tidak sekali-kali melakukan tidakadilan kepada kita sebagai HAMBANYA. Sebenarnya, itu adalah jalannya. Jalan bagi mereka yang berjaya. Kerana dengan jalan itulah kita akan berusaha dan berikhtiar dengan segala daya upaya kita. Tidak akan disebut sebagai kejayaan jika kita tidak memulakannya dengan usaha.