Monday, November 17, 2008

NASIB DIHUJUNG TANDUK

Seorang kenalan saya sudah berkhidmat selama 7 tahun secara kontrak. Beliau sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Baru-baru ini beliau meninggal dunia. Usianya baru mencecah 40 tahun. Isterinya sudah lama berhenti dari alam pekerjaan. Alasannya dalah untuk memberikan perhatian khusus kepada anak-anak yang sedang membesar. Nampaknya beliau merupakan tempat bergantung kepada 4 orang insan. Ketika diperkubuaran, saya nampak wajah sedih lagi sugul insan-insan yang ditinggalkan. Hanya dari jauh saya memerhatikan gelagat anak dan isteri arwah mendengar alunan talqin dibacakan. Majlis yang diuruskan waktu malam selesai lebih kurang jam 11 malam. Tidak lama selepas itu, saya diberitahu bahawa isterinya telah diterima bekerja di organisasi yang sama atas belas ehsan ketua organisasi. Saya sangat percaya, isteri arwah bekerja kerana ingin membesarkan anak-anaknya. Saya agak pasti beliau terpaksa bekerja. Memang bukan senang untuk kembali bekerja. Tetapi keadaan memaksa. Apa lagi yang boleh dilakukan olehnya.
Cerita diatas bukan cerita rekaan. Ia adalah pengalaman peribadi saya. Sesungguhnya, beliau bukan orang pertama yang saya temui. Beliau adalah insan-insan yang gugur secara terhormat. Beliau adalah insan yang sanggup memikul tanggungjawab walaupun dengan penuh kepayahan. Saya tahu dipenghujung hayatnya beliau masih lagi berharap supaya kerjayanya yang berstatus kontrak diberikan pengiktirafan. Namun, rezekinya masih belum tiba. Beliau rebah di dada harapan menggunung. Apakan daya..........
Bagi seorang pekerja seperti kita... nasib kita tidak ada sesiapa yang menentukan kecuali diri kita. Kalau kita berharap akan ada orang lain yang akan membela, saya tak pasti sama ada kita sedang berpijak di alam benar atau fantasi. Mungkin anda pernah berjumpa dengan insan yang senasib atau hampir menyamai dengan apa yang saya cuba ceritakan. Ketika kita masih lagi bernafas, buatlah perancangan. Keluarlah dari kepompong itu jika ia tidak menjanjikan apa-apa. Buatlah perubahan demi untuk insan yang tersayang.

BAGAIMANA PEKERJA MAHU DINILAI

Jika anda seorang pekerja, bagaimanakah kaedah yang paling sesuai untuk menilai anda? Adakah prestasi kerja, atau pengalaman anda dalam sesuatu tugasan, atau berapa banyak untung yang telah berjaya anda bawa untuk organisasi anda. Ada kaedah yang lebih komprehensif dari kaedah sekarang??.

Friday, November 14, 2008

SEGALANYA AKAN DIBAYAR

Jika saya bertanya kepada anda; "Berapakah harga sebuah kejayaan.? Mungkin ada diantara kita yang akan menjawab bahawa harganya terlalu mahal. Jika mahal, berapakah nilainya ? RM1, RM2, RM10, RM35 atau RM 130 atau RM 12000 atapun lebih dari itu. Semuanya akan bergantung kepada bagaimanakah kita mencapainya. Dalam hidup ini, kita akan membayar harga yang berbeza untuk sebuah kejayaan. Ada yang membayar kejayaan yang sama, sebagaimana kita perolehi dengan harga yang begitu murah. Mungkin mereka dilahirkan sebagai anak orang kaya, mungkin juga jutawan. Tidak ketinggalan juga mereka adalah dari keluarga bangsawan, golongan peniaga jutawan ataupun mempunyai hubungan dengan orang-orang berkuasa. Sudah tentu mereka akan mendapat kejayaan dengan cara yang paling mudah. Bagi kita yang tidak mempunyai apa-apa, kita tidak mempunyai pilihan kecuali bermula dari bawah. Semuanya akan kita tempuhi. Pahit maung, sepak terajang, penat lelah, buntu dan kecewa pasti akan datang menghinggap.
Apa pun yang berlaku dalam perjalanan kita menuju kejayaan, sentiasa ingat dan percaya, bahawa TUHAN akan membayar balik ujian dan cabaran yang diberikan kepada. Percayalah bahawa TUHAN tidak sekali-kali meninggalkan kita dengan kesusahan itu. Sesungguhnya disebalik setiap kesusahan itu akan pasti menjelma kesenangan.

Sunday, November 2, 2008

KENAPA BERUBAH..???

Pernah dalam satu ceramah di Melaka baru-baru ini, seorang peserta bertanya tentang gambar WANG yang saya sengaja tayangkan. "apakah yang sebenarnya maksud di sebalik gambar tersebut?" tanya mereka. Dengan spontan saya menjawab, bahawa ia adalah salah satu benda-benda yang ajaib yang pernah manusia ciptakan. Dengannya manusia yang asalnya baik akan jadi menyeleweng, adik beradik boleh bergaduh kerana merebutnya. Kawan-kawan pula berkawan dengan seseorang kerana ada duit. Yang lebih teruk bila kawan jadi lawan sebab hutang duit. Tapi yang lebih teruk apabila kita membelakangkan hukum TUHAN demi wang.
Walaupun, salah satu sebab kita bekerja adalah kerana wang, janganlah hendaknya kita digelapkan dengan wang. Ia adalah salah satu alat untuk memudahkan kehidupan, bukan matlamat atau tujuan kehidupan kita.

Wednesday, September 10, 2008

KEPUASAN DALAM KERJAYA

Baru-baru ini, organisasi saya telah membuat survey mengenai tahap kepuasan kerja di kalangan anggotanya. Oleh kerana bilangan mereka tidak ramai, pendapat hampir semua anggota dapat dikumpulkan. Dalam survey berkenaan, keutamaannya adalah untuk melihat peratus sahaja. Ia tidak bermaksud dilakukan secara ilmiah. Walau bagaimanapun, keputusannya agak mengejutkan.
Kebanyakkan responden tidak memberikan pandangan mereka pada banyak soalan yang diajukan. Golongan ini bukan sedikit. Mereka mencipta angka sebanyak lebih dari 30%. Mereka mememilih nuetral sebagai pilihan jawapan pada kebanyakkan soalan. Pada hemat saya, mereka memilih untuk berkecuali tidak mahu memberi pandangan dan keputusan mereka atas soalan.

Sunday, August 24, 2008

MEMBUAT PILIHAN

Mungkin ramai diantara kita yang mempunyai pengalaman yang menarik dalam membuat pilihan. Contohnya; memilih lokasi sebelum membeli rumah, memilih tawaran pekerjaan setelah berjaya dalam beberapa temuduga kerjaya dan tidak kurang juga yang membuat perbandingan dalam memilih pasangan hidup. Tujuannya masih sama, iaitu kita tidak ingin menyesal dikemudian hari atas pilihan yang telah kita buat. Apakah kita telah membuat pilihan yang terbaik ataupun tidak, hanya masa yang akan menjadi saksi. Dalam hal ini, tahukah kita bahawa apakah yang sebenarnya menentukan kita memilih sesuatu dan menolak sesuatu pilihan yang lain.?
Perkara yang sama berlaku dalam kerjaya kita, contohnya jika kita diberikan pilihan umur bersara, agaknya bilakah tarikh keramat tersebut.? Apakah wajar bagi seseorang itu diberikan pilihan dalam kerjayanya sepanjang masa.? Apakah jika seseorang yang hanya ingin bersara apabila ia disahkah meninggal dunia wajar diterima oleh majikannya.? Atau kita hanya boleh membuat pilihan apabila kita diberikan peluang untuk berbuat pilihan oleh orang lain. Adakah kita bebas untuk membuat pilihan.?
Soalan diatas sebenarnya tidak memerlukan sebarang jawapan, ia hanyalah satu stimulasi kepada minda kita supaya kita berfikir beberapa kemungkinan yang mungkin terjadi dan berlaku kepada diri kita dan juga orang lain. Beberapa sifir kerjaya boleh dibentuk dari stimulasi tersebut;
  1. Memilih kerjaya adalah memilih masa hadapan
  2. Kerjaya yang berpendapatan tinggi tidak semestinya membahagiakan
  3. Mendaki tangga kerjaya memerlukan pengorbanan
  4. Kebebasan dalam kerjaya hanya boleh dicapai apabila anda menjadi majikan
  5. Matlamat kerjaya adalah langkah kejayaan dalam hidup

Monday, August 11, 2008

DUNIA MEMANG TIDAK RATA

Tulisan saya kali ini bukanlah sebagai respon kepada tajuk sebuah buku popular yang bertajuk The World is Flat. Ia tidak ada kaitan sama sekali. Saya menulis tajuk ini dengan harapan supaya kita tahu dan perlu mengetahui bahawa dunia kerjaya memang tidak rata. Oleh yang demikian, tidak ada apa yang perlu kita risaukan. Akan ada diantara kita yang terpaksa mendaki bukit, gunung; merentas lurah belantara, belukar dan hutan rimba. Tidak kurang juga yang mendapat gajah untuk melakukan perkara yang sama. Ada juga diantara kita yang hanya perlu mendayung perahu untuk mudik ke hilir atau kehulu. Ada juga yang perlu meredah sungai, lautan untuk sampai ke pulau impian.
Dalam dunia kerjaya akan ada manusia-manusia yang memang berada di atas bukit, senanglah mereka mendaki ke gunung. Memang sudah ada dayung ditangan dan perahu di air, senanglah mereka memudik ke hulu sungai. Untuk sampai ke pulau impian, memang jalannya tidak akan sama. Nak buat macam mana kerana DUNIA MEMANG TIDAK RATA. Kalau kita berminda negatif, kita telah pun gagal pada hayunan pertama. Kaki kita tidak akan mampu melangkah lagi. Segalanya akan berakhir, dan tinggal menjadi kenang-kenangan. Kita akan mudah menyalahkan orang disekeliling kita dengan cercaan dan makian . Percayalah, ia tidak akan berkesan.
Tetapi Allah tidak sekali-kali melakukan tidakadilan kepada kita sebagai HAMBANYA. Sebenarnya, itu adalah jalannya. Jalan bagi mereka yang berjaya. Kerana dengan jalan itulah kita akan berusaha dan berikhtiar dengan segala daya upaya kita. Tidak akan disebut sebagai kejayaan jika kita tidak memulakannya dengan usaha.

Friday, July 18, 2008

JANGAN BERHENTI

Jika anda inginkan kejayaan dalam kerjaya, malah dalam apa jua lapangan kehidupan anda sekarang, anda JANGAN BERHENTI. Jika anda berhenti, hanya ada satu keputusan, anda GAGAL. Sebenarnya saya tidak begitu selesa menyebut gagal, tetapi itulah jawapan kepada mereka yang berhenti. Apa yang saya nak sampaikan kepada anda adalah, anda perlu meneruskan usaha-usaha anda sekarang untuk mendapatkan sesuatu yang anda idam-idamkan. Jika matlamat anda dalam kerjaya ialah menjadi pekerja terbaik bagi bulan Ogos 2008, anda perlu terus berusaha walaupun pada bulan Ogos nanti, bukan anda yang menerima penghargaan itu. Kita sebenarnya tidak tahu berapa jauh lagi kedudukan usaha kita sekarang dengan sesuatu kejayaan. Mungkin satu kilometer, mungkin juga satu ratus kilometer, tidak mustahil juga ia hanya sekitar satu hasta atau satu langkah. Kita tidak tahu berapa jauh lagi kejayaan itu berada dari kita. Oleh itu, kita tidak boleh BERHENTI. Saya ada satu cerita. Ia terjadi pada tahun 2003 ketika saya berkhidmat di salah sebuah negeri di pantai timur. Ceritanya bermula apabila saya menerima permohonan seorang juruteknik untuk melanjutkan tempoh percubaannya. Dalam rekod, beliau telah disambungkan tempoh percubaan hampir sepuluh tahun. Pegawai sebelum saya telah melakukan usaha dan ikhtiar bagi membolehkan beliau disahkan. Namun tidak berjaya. Surat dari suruhanjaya menyatakan keengganan untuk melanjutkan tempoh percubaan kerana telah melebihi dari tiga kali. Pilihan yang ada adalah mengembalikan pegawai berkenaan ke jawatan asalnya. Jika ini berlaku, banyak kerugian akan berlaku kepada pegawai berkenaan.
Memikirkan bahawa peluang masih lagi ada, walaupun "semua" orang di sekeliling saya tidak yakin dengannya, saya memulakan perjalanan mencari fakta. Semua dokumen lama yang berhabuk dibaca satu demi satu. Peraturan lama yang di gunapakai sebelum tahun 1991 dibaca dan cuba difahami. Sejarah perkhidmatan pegawai berkenaan dicatat dan dibandingkan dengan peraturan dan dokumen semasa. (saya tidak dapat menyatakan dengan teperinci disini). Akhirnya usaha saya berhasil juga, saya berjaya membuktikan bahawa pegawai berkenaan berhak untuk disahkan dalam perkhidmatannya tanpa memenuhi beberapa keperluan. BUkan itu sahaja, pegawai berkenaan menerima bayaran balik gajinya yang tidak dinaikkan selama tempoh tersebut. Walaupun, saya tidak sempat menemui pegawai berkenaan. Saya percaya beliau akan merasa bersyukur dan bertuah kerana nasib kerjayanya terbela. Pegawai berkenaan tidak perlu mengenali saya atau berterima kasih kepada saya. Kerana kes itu, saya mendapat pengalaman dan pengetahuan yang tidak mungkin diperolehi dari buku atau kursus. Dari itu saya belajar perkataan yang besar maknanya: JANGAN BERHENTI kerana anda tidak tahu jarak kejayaan dari anda, mungkin hanya selangkah.

Wednesday, July 9, 2008

JAMINAN PEKERJAAN

selamat bertemu kembali.

Semalam saya berkesempatan bertemu semula dengan seorang eksekutif baru yang datang melapor diri di organisasi saya. Beliau memperkenalkan dirinya lebih dahulu kerana saya tidak mengenalinya. Tidak saya menyangka akan berjumpa dengannya dalam satu suasana yang berbeza. Kali pertama saya bertemu dengan beliau ketika beliau membuat latihan/praktikal di organisasi lama saya. Dalam perbualan dengannya, saya melontarkan satu soalan biasa yang selalunya saya kemukakan kepada teman bual saya. "apa yang menyebabkan puan memilih pekerjaan ini, sedangkan gaji di tempat lama agak tinggi sedikit ?' Beliau menjawab, "kerja di sini lebih terjamin" sambil tersenyum.
Beliau adalah antara mereka yang memilih jaminan pekerjaan lebih dari pendapatan. Namun begitu, jaminan pekerjaan bukan sahaja bermaksud kita tidak akan diberhentikan, tetapi ia mempunyai pengertian yang lebih luas. Ia sangat bergantung kepada bagaimana seseorang itu membuat penyesuaian dirinya dengan kerjanya. Saya melihat jaminan pekerjaan juga bermakna kita mempunyai simpanan mudah cair hasil dari pendapatan bulanan kita. Jaminan pekerjaan juga boleh diertikan dengan kita mempunyai kemahiran baru yang tertentu yang membolehkan kita menukar majikan atau membuka perniagaan sendiri.

Tuesday, June 10, 2008

KEJAYAAN UNTUK APA..?

Siapakah yang mahu bersusah payah dalam hidupnya tanpa ada apa-apa tujuan...? Apakah motif seseorang melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu..? Bagi soalan yang kedua, semua orang mempunyai alasan atau motif tentang perlakuan masing-masing, sama ada sesuatu yang dibuat ataupun sebaliknya. Saya juga mempunyai motif meluangkan masa menulis sesuatu kepada anda, pembaca yang saya kenali dan mungkin ramai juga yang tidak saya kenali. Motifnya mudah, saya ingin pandangan saya diambil kira. Saya mahu pengalaman saya diteladani dan macam-macam lagi. Pendek kata saya inginkan sedikit bahagian dalam hidup anda. Tetapi jika, pandangan dan pengalaman tersebut tidak diambil kira, saya tidak juga mengalami apa-apa kerugian kerana mungkin ada orang lain yang menggunakannya. Itu adalah contoh. Begitu halnya dalam kerjaya kita. Kita mesti mempunyai motif melakukan sesuatu atau tidak melakukannya. Dalam kerjaya, saya suka perkataan motif itu kita ubahkan menjadi matlamat kerjaya. Matlamat kerjaya bermaksud, apakah yang ingin dicapai oleh seseorang pekerja dalam kehidupan kerjayanya. Yang penting juga, apakah perancangannya untuk mencapai matlamat kerjaya tersebut. APakah kesan kepada seseorang jika ia tidak mempunyai matlamat dalam kerjayanya...?

Thursday, June 5, 2008

KENAPA KITA BEKERJA

Kebanyakan kita memulakan kerjaya kita setelah menamatkan pelajaran atau pengajian sama ada di sekolah menengah, kolej ataupun universiti. Pendidikan yang kita terima mengikut tahap yang telah kita lalui akan menempatkan kita dalam kelompok mana kita akan berkerja. Kalau anda berkelulusan universiti, tempat dan kerjaya anda mungkin lebih selesa dari mereka yang hanya berkelulusan SPM. Namun, bukan semua yang berkelulusan setakat itu tidak boleh berjaya. Yang penting anda tahu bagaimana untuk berjaya.
Kenapa kita bekerja bukan satu persoalan ringan. Ia juga bukan persoalan yang boleh dijawab oleh pekerja biasa. Ia adalah persoalan bagi pekerja yang ingin meningkatkan keupayaan mereka dalam kerjaya mereka sekarang. Pada asasnya, pekerja akan bekerja kerana ingin memenuhi keperluan fisiologi mereka ia termasuk makan, minum, tempat tinggal, pakaian dan sebagainya. Dalam memenuhi keperluan yang paling asas ini, biasanya manusia tidak begitu mengambil berat tentang apakah pekerjaan itu memberikan jaminan, keselamatan, pengiktifaran dan sebagaianya. Yang penting pada waktu itu, mereka mendapat makan, minum dan lain-lain keperluan di bawah aspek fisiologi. Mereka akan terus menerus bekerja sehinggalah pada satu tahap semua keperluan di bawah tahap fisiologi telah dipenuhi.
Pada peringkat inilah, keperluan untuk memenuhi keperluan fisiologi akan berubah kepada tajap keselamatan. Pada peringkat ini, kita akan melihat dan membuat pemilihan, kerjaya mana yang mampu untuk memberikan keselamatan. Sama ada selamat dari segi pendapatan, kesihatan, gangguan dan sebagainya. Proses ini akan terus menerus berubah dari satu tahap ke satu tahap sehinggalah mencapai tahap yang tertinggi, iaitu penyempurnaan kendiri.

Tuesday, May 27, 2008

KEJAYAAN: SYARAT KEENAM

Lukman Al-Hakim pernah berpesan, "Ada dua orang yang paling gagal dalam hidup, orang yang tidak cekap membuat apa yang disuruh, dan orang yang hanya membuat apabila disuruh". Sebenarnya ada banyak orang yang boleh dikelaskan sebagai GAGAL (saya tak mahu menulis tentang kegagalan, ia cuma satu ulasan bagi menjelaskan kejayaan), tetapi pada pandangan beliau dua kelompok di atas adalah orang yang PALING GAGAL (kesian kat mereka kan..?) Tapi nanti dulu............., ia boleh terjadi kepada kita semua, iaitu saya, anda dan kawan-kawan kita. Kita mesti melihat diri kita terlebih dahulu sebelum melihat orang lain. Kelompok yang pertama adalah dari kalangan manusia yang tidak memiliki kemahiran dan pengetahuan dalam kerjanya. Mungkin kurangnya latihan dan pendedahan, mungkin juga majikan anda tidak memberikan latihan yang sepatutnya (kesian). Mungkin juga kerana kerja berkenaan adalah tugas baru yang diberikan kepada anda.


Kelompok yang kedua, adalah mereka boleh disifatkan sebagai pahat, ya.. pahat bukannya lahat atau jahat. Mereka tidak bersikap pro-aktif dan selalunya menunggu kerja. Lebih teruk lagi jika ada yang lambat buat kerja. Lagi-lagi teruk mereka yang tak mahu buat kerja. Golongan ini, selalunya berfikir yang mereka akan untung, orang lain akan rugi. tetapi mereka tidak tahu sebenarnya merekalah yang akan mengalami kerugian. Jika anda nak tahu apakah kerugiannya, anda boleh lihat cara mereka berhubungan dengan orang lain dan keadaan mereka sekarang.

Sunday, May 25, 2008

KEJAYAAN: SYARAT KELIMA

Tahukah anda bahawa Colonel Sanders terpaksa berjumpa dengan lebih daripada 1000 orang untuk 'menjual' resepi ayam goreng KFCnya. Beliau mencuba pada kali yang ke 1009 bagi membolehkan kita semua berpeluang untuk merasainya keenakan resepinya. Jika beliau mengaku kalah pada kali yang ke 1000, mungkin kita tidak dapat menikmati ayam gorengnya. Apa pengajaran yang boleh kita ambil dari cerita kejayaan Colonel Sanders kepada kita semua...? Kenapa beliau perlu bersusah payah menjaja resepinya..??
Banyak persoalan yang boleh dibangkitkan dari cerita klasik ini. (saya tidak berhasrat untuk bercerita panjang lebar mengenainya). Pada saya, kita perlu BUAT SAMPAI BOLEH jika inginkan kejayaan dalam hidup. Sebenarnya tidak ada jalan lain, itu sahaja jalannya. Tidak ada karpet merah untuk kita mencipta kejayaan dalam hidup. Sebenarnya banyak pengajaran yang boleh kita ambil darinya, tetapi saya mencadangkan kepada anda yang berminat untuk mengetahui cerita lanjut mengenainya, bacalah perjalanan hidupnya. Rumusan dari cerita beliau, saya suka sarankan supaya;
  1. kerjaya kita sekarang memberi peluang kepada kita menjadi pakar dalam sesuatu bidang
  2. kemahiran yang kita ada boleh dipasarkan apabila kita bersara
  3. kita perlu membuat persediaan yang rapi sebelum bersara
  4. kita mempunyai simpanan yang mencukupi
  5. kita memiliki tahap kesihatan yang baik

Friday, May 23, 2008

POLITIK PEJABAT

Ketika saya menyambung pengajian dalam bidang sains politik, tidak ada pula saya berjumpa dengan istilah politik pejabat. Saya hanya menyedarinya apabila bertugas dan mempunyai kerjaya. Walau bagaimanapun, ciri-ciri dan strategi berpolitik masih lagi sama, bezanya adalah matlamat akhirnya. Dalam politik sebenar, matlamat adalah kuasa untuk menjadi kerajaan ataupun pemerintah. Golongan ini akan menggunakan bermacam-macam pendekatan bagi membolehkan ideologi mereka diterima oleh rakyat. Bezanya, dalam organisasi tidak ada parti, manifesto, mengundi dan sebagainya. Yang sama adalah, cara mereka mengumpulkan kelompok, mempengaruhi dan strategi untuk mendapatkan kuasa. Ia akan digunakan dengan pelbagai cara, sama ada cara yang baik dan berundang-undang ataupun menggunakan pendekatan yang agak bias dan tidak bermoral. (pada kebanyakan masa cara agak berkesan, namun begitu saya melarang pembaca mencuba atau menirunya).
Satu perkara yang sama dalam semua keadaan adalah KEPENTINGAN. Inilah motif utama dalam sains politik yang saya pelajari dalam tempoh dua tahun di universiti dan 10 tahun di alam kerjaya. Pada saya organisasi akan rugi kerana;
  1. banyak masa akan dihabiskan untuk mempengaruhi orang lain
  2. matlamat organisasi tidak akan tercapai sepenuhnya kerana ada yang akan mensabotaj demi mendapatkan kuasa
  3. sumber-sumber utama akan dibazirkan
  4. perpecahan akan berlaku
  5. pekerja akan mempunyai kelompok dan kumpulan serta tidak bersatu padu
Yang paling rugi ialah stake holder kepada organisasi berkenaan.

Tuesday, May 20, 2008

KEJAYAAN: SYARAT KE EMPAT

Satu di antara beberapa banyak ayat yang masih saya ingat sehinggalah sekarang ialah satu ayat yang selalu disampaikan oleh seorang kawan saya dalam banyak ceramahnya. Ia berbunyi; "BETULKAN YANG BIASA DAN BIASAKAN YANG BETUL" . Kepada saya ia memberi makna bahawa jika kita ingin berjaya dalam hidup kita, dalam bidang-bidang kerjaya yang sedang dan akan kita ceburi, kita perlu melakukan perubahan atas kebiasaan yang sedang kita amalkan. Kebiasaan yang berkenaan sama ada berbentuk perkataan, kemahiran ataupun tabiat kita seharian, yang telah sekian lama kita buat, tidak menampakkan sebarang kejayaan. Kita masih menerima hasil yang sama dari kebiasaan itu. Apa kata, kalau kita cuba merubahnya..?? Kita tidak akan tahu hasilnya jika kita masih lagi dengan kebiasaan yang lama.
ps Pn Roziah: betul ke maksudnya..???

Wednesday, May 14, 2008

KEJAYAAN: SYARAT KETIGA

"Bagaimana anda bermula TIDAK PENTING, TETAPI YANG PALING PENTING, bagaimana anda berakhir". Ini adalah ayat yang mesti anda simpan dan amati jika anda inginkan kejayaan. Tak kira dalam apa bidang sekalipun. Yang paling utama, anda memahami perkataan-perkataan yang menjadikan ayat penguat semangat itu memberikan makna kepada hidup anda.


Jika anda bermula sebagai buruh, penjual cendol, penjual surat khabar, penarik beca, penjaga parking, pengawal keselamatan dan bermacam-macam kerjaya lagi yang tak mampu saya sebutkan disini, itu tidak mengapa. Orang yang inginkan kejayaan, tidak memikirkan kedudukan mereka sekarang, tetapi senantiasa ingin majukan diri mereka dengan bermacam-macam cara. Apapun kedudukan mereka dimata masyarakat tidak sekali-kali menjadi penghalang. Lihatlah mereka yang sudah berjaya, adakah kejayaan yang menjadi milik mereka datang ketika mereka dilahirkan..??? Sudah tentu, jawapan anda adalah TIDAK.


Walau apapun yang anda lakukan sekarang, IA TIDAK PENTING SAMA SEKALI. Jangan ambil peduli tentang bagaimana anda bermula. Rancang dan susunlah hidup dan kerjaya anda, supaya ia akan berakhir sebagaimana yang anda idam-idamkan.

KEJAYAAN: SYARAT KEDUA

Orang yang inginkan kejayaan dalam hidup hendaklah memiliki keinginan yang tinggi. Bukan kelulusan yang tinggi semata-mata. "Wah..!!!, kalau begitu macam mudah aje." Hanya keinginan yang tinggi, mudah bukan.??? Ramai tokoh yang telah berjaya yang anda boleh saksikan sendiri, mereka berjaya dan kaya raya tidak mempunyai kelulusan yang tinggi. Perbezaannya hanyalah mereka mempunyai keinginan yang sangat tinggi untuk berjaya. Manakala yang lain-lain hanya mempunyai keinginan yang sederhana sebagaimana juga yang diinginkan oleh orang lain.
Manusia sememang suka untuk berada di dalam keadaan yang sama, seperti orang lain. Biasanya kita tidak mahu dianggap pelik atau tidak sanggup dilihat sebagai asing, apabila kita mempunyai sesuatu yang tidak dipunyai oleh orang lain. Ia berlaku dalam banyak keadaan. Contohnya, kita tentu dipandang sinis jika kita katakan bahawa kita ingin menjadi angkasawan. (ianya masih lagi dianggap pelik walaupun negara kita telah mempunyai angkasawan) Begitu juga kita kita memberikan idea yang praktikal, tetapi nampak pelik dan asing. Orang akan melihat kita dengan pandangan yang penuh dengan 1001 pertanyaan.

Monday, May 12, 2008

KEJAYAAN: SYARAT PERTAMA

Dalam dunia ini, umumnya semua manusia yang normal inginkan kejayaan dalam hidup mereka. Satu perkataan yang paling susah dalam menulis tajuk ini adalah.. Apakah erti kejayaan.??? Pada saya, makna kejayaan bergantung kepada pemahaman setiap individu. Saya dan anda mempunyai pengertian yang berbeza tentangnya. Ia bukan sesuatu isu yang pelik, malahan ia adalah keunikan antara manusia. Walaubagaimanapun, ia bukan tujuan saya menulis kepada anda. Apapun maknanya kepada anda, saya suka nyatakan bahawa syarat pertama kejayaan adalah KEBERANIAN.
Anda mesti berani untuk berjaya. Saya katakan begitu kerana bukan semua orang berani untuk berjaya. Yaa.. memang benar, mereka takut untuk berjaya. Bunyinya memang macam pelik, tetapi ia benar. Jangan silap faham..!! apa yang saya maksudkan takut, bukannya takut kepada kejayaan, tetapi takut kepada;
  1. kepayahan yang mesti dilalui dari usaha-usaha yang dilakukan
  2. percubaan melakukan perkara yang sama berulang kali (anda tentu akan mengalami tahap kebosanan yang tinggi)
  3. kesan kejayaan secara tidak langsung kepada insan yang disayangi
  4. tahap penerimaan oleh kelompok (bukan semua ahli kelompok anda dapat menerimanya)
  5. penyesuaian dalam kelompok baru (anda akan diperhatikan)
ANDA MESTI BERANI UNTUK BERJAYA

Sunday, May 11, 2008

RAHSIA DOA

Saya mulakan tulisan saya kali ini dengan satu kata-kata yang saya selalu gunakan dalam banyak ceramah saya. Anda boleh gunapakai kata-kata ini dan simpan dalam ingatan anda. Saya selalu katakan kepada mereka yang inginkan kebenaran dalam hidup dengan ayat "ALLAH MEMBERI APA YANG KITA PERLU, BUKAN APA YANG KITA MAHU". Saya selalu berdoa supaya saya diberikan sesuatu yang sendiri menganggapnya adalah sangat perlu kepada saya. Saya merasakan ia adalah sesuatu yang sangat penting dan sangat memberi faedah kepada saya. Atas pertimbangan itu saya mula berdoa, berdoa dan terus berdoa untuk satu tempoh panjang. Sebaliknya, setelah beberapa lama, saya tidak mendapati apa-apapun dari doa saya. Dalam hati "wah nampaknya, tak dapatlah. Doaku tidak dimakbulkan" jangan bertanya; sama ada kecewa atau tidak, saya tentunya sangat kecewa.
Namun setelah beberapa lama, saya mengaku bahawa sememangnya betul. Doa saya tidak perlu dimakbulkan. Jika doa saya dimakbulkan, keadaan akan menjadi lebih teruk dan mungkin saya tidak mempunyai masa untuk menulis kepada anda. Saya akan terus percaya dan berpegang kepada kata "Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu". Dengan satu kesaksian bahawa Allah maha mengasihani hambanya. (sudah tentu ia termasuk saya, anda juga saudara islam kita.

KESIHATAN ADALAH KEKAYAAN

Mungkin anda pernah mendengar kata-kata motivasi yang saya jadikan tajuk tulisan saya kali ini. Ya.. anda tidak silap.!!! 'kesihatan adalah kekayaan'. Ia adalah satu perkataan yang sangat berkaitan dengan kita dan kerjaya yang kita ada sekarang. Mengapa saya berkata demikian..???


Jawapannya sangat mudah. Jika anda masih lagi sihat sekarang, anda boleh jadi kaya, orang kaya, orang yang sangat kaya, manusia paling kaya, jutawan yang sememangnya kaya dan bermacam-macam lagi gelaran KAYA yang boleh digunapakai. Sebaliknya jika anda tidak memelihara dan menghargai kesihatan anda sekarang, (saya tidak berhasrat memberikan contoh kerana mungkin akan menyebabkan pembaca tulisan saya tidak selesa) anda sebenarnya tidak ingin kaya pada masa depan. Penyakit yang terhasil dari apa yang kita buat sekarang akan mengikis kekekayaan dan simpanan yang kita ada pada masa depan.
JOM KITA BERSENAM.

Saturday, May 10, 2008

Jadilah Pakar

Beberapa minggu lepas, saya berkesempatan meraikan sekumpulan bakal-bakal pesara. Dalam perbualan yang sempat saya mulakan, saya perhatikan mereka sememangnya ingin "betul-betul bersara". Dengan kata-kata yang mudah, mereka ingin duduk, rehat dan tidak membuat apa-apa pun. Saya terdiam sebentar dan menyambung perbualan mengenai tajuk yang lain. Dalam hati... "Emmm.. hebat sungguh mereka".
Itu adalah merupakan senario biasa yang berlaku kepada hampir semua pesara. (ia andaian saya semata-mata). Ingin berehat dan melupakan semua beban dan tekanan kerja yang dihadapi untuk satu tempoh yang lama. (saya pun akan melakukan perkara yang sama). Namun begitu, adakah mereka akan terus bersara dan berehat..? jawapannya bergantung kepada persediaan yang mereka telah lalukan. Jika anda sedang bekerja atau sedang mencari pekerjaan, saya sarankan supaya;
  1. pastikan anda mendapat kemahiran dan pengetahuan baru dengan kerjaya atau bakal kerjaya anda,
  2. pastikan bidang kerjaya dan bakal kerjaya anda akan terus relevan dan diperlukan oleh pasaran
  3. pastikan bidang kerjaya dan bakal kerjaya anda tidak menjejaskan kesihatan anda sama ada dari segi fizikal dan mental
  4. pastikan organisasi anda memberikan peluang kepada anda memajukan potensi yang anda ada
  5. pastikan pengalaman yang anda perolehi sekarang dan akan datang relevan dengan apa yang bakal anda usahakan
Jika anda memilih untuk tidak peduli dengan apa yang bakal berlaku kepada anda setelah anda bersara, saya yakin anda adalah;
SEORANG PESARA JUTAWAN

Thursday, May 8, 2008

kerjaya dan tekanan kerja

Sesiapapun pernah mengalaminya, saya, anda dan juga orang lain. Ia adalah sesuatu yang normal dalam mana-mana organisasi. Tidak kiralah sama ada kita merupakan pekerja bawahan, eksekutif ataupun pengurus organisasi. Ia akan mengambil bentuk mengikut posisi dan kedudukan kita dalam organisasi berkenaan. Bermacam-macam jenis tekanan berlaku dalam organisasi. Biasanya contoh ayat yang diucapkan oleh individu yang mengalami tekanan adalah;
  1. apalah boss ni.. macam tak ade orang lain..! (dalam hati)
  2. Mana dia pergi leman...? kan saya dah cakap, selesaikan dulu apa yang suruh tu..
  3. Saya tak peduli.. awak mesti habiskan laporan tu sebelum pukul 8 pagi esok.
  4. CC..! mesyuarat saya lagi 10 minit, tak nampak pemandu di bawah..?
Seorang penceramah ada mengatakan dalam satu ceramah yang saya ikuti, bahawa sedikit tekanan akan membawa kesan yang positif kepada individu. Ia boleh diandaikan sebagai tolakan untuk melakukan sesuatu. Bagaimana..? adakah anda bersetuju..?

Sunday, May 4, 2008

MULAKAN DENGAN SEMANGAT BARU

Bagi sesetengah pekerja, memulakan kerja pada hari isnin adalah sesuatu yang membosankan. Lebih-lebih lagi bagi pekerja telah bekerja dalam satu tempoh yang lama. Saya pun selalu mengalami perkara yang sama pada kebanyakkan hari isnin. Rasa malas, tidak bermaya, lesu, mengantuk dan pelbagai lagi. Selalunya, "Alamak, kalaulah hari nie hari ahad, kan seronok" perkataan yang selalu hadir dalam minda saya. Lalu, pada satu pagi isnin, saya cuba untuk bertanya kembali, "disepanjang hidup saya bilakah hari isnin yang saya rasa seronok untuk memulakan sesuatu" saya mula berfikir. Yang saya dapat ingat adalah;
  1. Ketika memulakan awal sesi persekolahan
  2. Ketika memulakan persekolahan menengah
  3. Ketika ingin mendaftar diri sebagai mahasiswa
  4. Ketika menghadiri kuliah untuk kali pertama
  5. Ketika mendapat pekerjaan pertama
  6. Ketika mula memandu kereta pertama
  7. Ketika diberi tanggungjawab sebagai pengarah
  8. Ketika mempengerusikan mesyuarat
Sebetulnya, ada diantara peristiwa diatas tidak berlaku pada hari isnin. Banyak lagi peristiwa hari isnin yang saya rasa seronok, tetapi tidak dapat diingati dengan jelas. Bukan maksud tuliasan ini untuk menceritakan haris isnin yang menyeronokkan dan sebaliknya. Tetapi yang penting, ia sebetulnya bergantung bagaimana kita merancang hari isnin kita. Tips dari saya;
  1. letakkan sesuatu yang baru pada hari isnin, contohnya baju baru, kasut baru, pen baru, tugas baru dan sebagainya.
  2. letakkan sesuatu yang kita ingin sangat lakukan pada hari isnin, berjumpa kawan rapat, hadir perjumpaan yang kita tunggu-tunggu, membeli sesuatu yang kita idamkan dan sebagainya.
  3. letakkan sesuatu yang kita ingin sangat mencubanya, contohnya mencuba memandu kereta, mencuba berenang, mencuba resepi, mencuba bermain tenis dan lain-lain.
SELAMAT MENCUBA

Friday, May 2, 2008

Rancanglah Persaraan Anda

Jika kebetulan hari ini adalah hari pertama anda bekerja, rancanglah persaraan anda mulai sekarang. Bagi anda yang sudah mempunyai pekerjaan, persiapkan diri anda untuk menghadapi dunia "hilang pekerjaan". Masa untuk bersara akan menghampiri semua orang yang bekerja. Lebih-lebih lagi bagi kita yang bekerja "makan gaji". Jika menjadi usahawan dan mempunyai perniagaan sendiri, masa bersara tertakluk kepada tarikh yang mereka sendiri tentukan. Bukan tidak ada bekas pekerja yang terpaksa kembali bekerja kerana tidak mempunyai persediaan yang cukup untuk berhadapan dengan cabaran realiti. Dari pandangan saya, persaraan akan menyebabkan beberapa perkara yang menjadi kebimbangan sesetengah orang; ia adalah
  1. Kehilangan punca pendapatan utama
  2. Kehilangan ruang untuk berinteraksi dan bersosial
  3. Kemerosotan pendapatan bulanan
  4. Terpaksa menyesuaikan perubahan cara hidup
  5. Hilangnya kawan dan rakan
  6. Masa yang terlalu panjang untuk dihabiskan
  7. Hilang rasa diterima dan diperlukan oleh orang lain
  8. Tak tahu nak buat apa
Sebelum masanya tiba didepan mata, elok benarlah kita membuat perancangan persaraan. Ia mungkin akan terdiri dari tindakan-tindakan berikut;
  1. Membuat simpanan tetap dari pendapatan kita
  2. Membuat pelaburan walaupun dalam jumlah yang kecil
  3. Rancang perbelanjaan
  4. Dapatkan kemahiran yang boleh digunapakai apabila bersara
  5. Mulakan rancangan lima tahun sebelum bersara
  6. Dapatkan maklumat yang berkaitan; tetapi jangan sampai kita lupa
  7. JAGA PERIUK NASI KITA.

Thursday, May 1, 2008

kemahiran mencari pekerjaan

Ketika di universiti, saya belajar tentang banyak perkara berkaitan dengan jurusan yang saya minati. Selama empat tahun rasanya terlalu lama pada ketika itu, tetapi kenangan itu masih lagi segar dalam ingatan. Saya juga melihat siswa lain pun begitu juga, senantiasa sibuk menghadiri kuliah, tutorial, membuat rujukan di perpustakaan, membaca, menaip tugasan dan pelbagai aktiviti seharian. Satu perkara penting yang sepatutnya saya pelajari, mesti saya mahir tentangnya, tetapi tidak ditawarkan oleh jabatan atau fakulti saya, ialah kemahiran mencari pekerjaan. Malah seingat saya ia pun tidak ditawarkan oleh mana-mana jabatan dan fakulti di universiti tempat saya belajar. Wah ! kalau begitu bagaimana saya boleh berada disini pada hari ini..?
Sebetulnya, kemahiran ini saya pelajari secara tidak langsung. Baru sekarang saya berasa sangat beruntung dan bernasib baik jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang lain. Mereka sebenarnya tidak tahu tentang apa yang sebenarnya mereka perlu tahu. Bukan semasa di universiti, tetapi ketika berhadapan dengan dunia luar. Entah bagaimana saya terpilih untuk menyertai Sekretariat Pengembangan Kerjaya ( pada ketika itu saya tak tahu pun apa sebenarnya objektifnya), saya terpanggil menyertainya walaupun tidak mengetahui dengan mendalam. Di dalamnya banyak aktiviti yang telah dihadiri oleh saya disepanjang tempoh tersebut. Saya sedar bahawa pengalaman itu memang sangat berguna, ketika saya berhadapan dengan dunia pekerjaan yang mencabar.

Tuesday, April 29, 2008

alam kerjaya

Untuk mendapatkan sesuap nasi, kita perlu melakukan beberapa pengorbanan. JIka kita tidak sanggup melakukannya, kita mungkin terpaksa menadah tangan meminta simpati dari orang lain untuk mengisi perut. Malam tadi, ketika dalam perjalanan pulang dari satu majlis meraikan pegawai yang bertukar dan bersara di salah sebuah hotel di Bandar Melaka, saya terserempak dengan sekumpulan pekerja yang sedang bekerja memasang kabel di tepi jalan. Jam ketika itu menunjukkan pukul 11.45 malam. Saya terfikir bahawa pekerjaan mereka lebih susah dari apa yang saya buat. Mereka sanggup melakukannya semata-mata untuk menyara hidup. Entah pukul berapa mereka akan berhenti dan balik ke rumah untuk berehat dan tidur. Saya juga tahu bahawa ramai lagi pekerja lain yang melakukan kerja yang hampir sama dalam waktu-waktu malam. Tetapi oleh kerana sesuap nasi mereka melakukannya.

Monday, April 28, 2008

MENCARI PEKERJAAN

Bagi ramai graduan lepasan ijazah dan diploma, mencari pekerjaan setelah selesai atau tamat pengajian adalah satu kemestian. Saya pun melakukan perkara yang sama sepuluh tahun dahulu. Pada ketika itu, kerja apa pun tidak difikirkan sangat. Yang penting dapat menyara diri sendiri dan juga membayar pinjaman yang digunakan ketika menyambung pengajian. Dalam tempoh mendapatkan pekerjaan yang sesuai dan mengikut impian, pelbagai pekerjaan dilakukan semata-mata ingin menamping sara hidup dan membayar balik pinjaman. Selalunya kelulusan tidak mencerminkan jenis pekerjaan yang dilalukan. Setiap bulan yang pastinya, gaji perlu diagih-agihkan mengikut komitmen yang telah dibuat. Tidak ada perkataan mewah dan selesa pada ketika itu. Dalam tempoh itu juga, kerjaya dan peluang lain dicari dan dicuba. Paling susah kalau nak dapatkan cuti untuk pergi ke temuduga. BERJUMPA LAGI

membina kerjaya

assalamualaikum dan salam sejahtera;

ketika saya melangkah keluar dari universiti, saya tidak terfikir bahawa alam kerjaya sememangnya mencabar dan mempunyai ragam yang pelbagai. Semuanya tidak pernah terlintas dalam benak saya, sehinggalah saya mengalaminya sendiri. Pernah juga ketika belajar terlibat dalam bidang keusahawanan, walaubagai manapun, semangat yang pada mulanya berkobar-kobar tinggal sekerat jalan.