Monday, November 17, 2008

NASIB DIHUJUNG TANDUK

Seorang kenalan saya sudah berkhidmat selama 7 tahun secara kontrak. Beliau sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Baru-baru ini beliau meninggal dunia. Usianya baru mencecah 40 tahun. Isterinya sudah lama berhenti dari alam pekerjaan. Alasannya dalah untuk memberikan perhatian khusus kepada anak-anak yang sedang membesar. Nampaknya beliau merupakan tempat bergantung kepada 4 orang insan. Ketika diperkubuaran, saya nampak wajah sedih lagi sugul insan-insan yang ditinggalkan. Hanya dari jauh saya memerhatikan gelagat anak dan isteri arwah mendengar alunan talqin dibacakan. Majlis yang diuruskan waktu malam selesai lebih kurang jam 11 malam. Tidak lama selepas itu, saya diberitahu bahawa isterinya telah diterima bekerja di organisasi yang sama atas belas ehsan ketua organisasi. Saya sangat percaya, isteri arwah bekerja kerana ingin membesarkan anak-anaknya. Saya agak pasti beliau terpaksa bekerja. Memang bukan senang untuk kembali bekerja. Tetapi keadaan memaksa. Apa lagi yang boleh dilakukan olehnya.
Cerita diatas bukan cerita rekaan. Ia adalah pengalaman peribadi saya. Sesungguhnya, beliau bukan orang pertama yang saya temui. Beliau adalah insan-insan yang gugur secara terhormat. Beliau adalah insan yang sanggup memikul tanggungjawab walaupun dengan penuh kepayahan. Saya tahu dipenghujung hayatnya beliau masih lagi berharap supaya kerjayanya yang berstatus kontrak diberikan pengiktirafan. Namun, rezekinya masih belum tiba. Beliau rebah di dada harapan menggunung. Apakan daya..........
Bagi seorang pekerja seperti kita... nasib kita tidak ada sesiapa yang menentukan kecuali diri kita. Kalau kita berharap akan ada orang lain yang akan membela, saya tak pasti sama ada kita sedang berpijak di alam benar atau fantasi. Mungkin anda pernah berjumpa dengan insan yang senasib atau hampir menyamai dengan apa yang saya cuba ceritakan. Ketika kita masih lagi bernafas, buatlah perancangan. Keluarlah dari kepompong itu jika ia tidak menjanjikan apa-apa. Buatlah perubahan demi untuk insan yang tersayang.

No comments: