Monday, August 11, 2008

DUNIA MEMANG TIDAK RATA

Tulisan saya kali ini bukanlah sebagai respon kepada tajuk sebuah buku popular yang bertajuk The World is Flat. Ia tidak ada kaitan sama sekali. Saya menulis tajuk ini dengan harapan supaya kita tahu dan perlu mengetahui bahawa dunia kerjaya memang tidak rata. Oleh yang demikian, tidak ada apa yang perlu kita risaukan. Akan ada diantara kita yang terpaksa mendaki bukit, gunung; merentas lurah belantara, belukar dan hutan rimba. Tidak kurang juga yang mendapat gajah untuk melakukan perkara yang sama. Ada juga diantara kita yang hanya perlu mendayung perahu untuk mudik ke hilir atau kehulu. Ada juga yang perlu meredah sungai, lautan untuk sampai ke pulau impian.
Dalam dunia kerjaya akan ada manusia-manusia yang memang berada di atas bukit, senanglah mereka mendaki ke gunung. Memang sudah ada dayung ditangan dan perahu di air, senanglah mereka memudik ke hulu sungai. Untuk sampai ke pulau impian, memang jalannya tidak akan sama. Nak buat macam mana kerana DUNIA MEMANG TIDAK RATA. Kalau kita berminda negatif, kita telah pun gagal pada hayunan pertama. Kaki kita tidak akan mampu melangkah lagi. Segalanya akan berakhir, dan tinggal menjadi kenang-kenangan. Kita akan mudah menyalahkan orang disekeliling kita dengan cercaan dan makian . Percayalah, ia tidak akan berkesan.
Tetapi Allah tidak sekali-kali melakukan tidakadilan kepada kita sebagai HAMBANYA. Sebenarnya, itu adalah jalannya. Jalan bagi mereka yang berjaya. Kerana dengan jalan itulah kita akan berusaha dan berikhtiar dengan segala daya upaya kita. Tidak akan disebut sebagai kejayaan jika kita tidak memulakannya dengan usaha.

No comments: